Thursday, April 26, 2012

istikharah....




Benda yang telah kita yakin sebenarnya tidak lagi berhajat kepada Istikharah. Ada orang, berdepan dengan dua pilihan iaitu Nora dan Siti. Tetapi dalam hatinya, dia memang telah sukakan Siti dan dia tidak sukakan Nora. Dalam keadaan ini, kalau dia Istikharah sekalipun – dalam keadaan hatinya sudah meletakkan jawapan – Istikharah itu tiada maknanya. Istikharah hanya dalam perkara yang kita benar-benar buntu untuk memilih, antara A dan B keduanya sama berat. Dalam masa yang sama, kita tidak kisah pun kalau mendapat A ataupun B kerana keduanya tidak memberi mudharat kepada hidup kita. Jadi, Istikharah dalam hal itu adalah digalakkan.

Mimpi


Dalam banyak keadaan, ini boleh dikatakan mitos. Dari mulut ke mulut, petunjuk tentang mimpi adalah benda wajib yang akan dikembarkan dengan saranan Istikharah. Sedangkan kita tahu, mimpi juga boleh berlaku ke atas seseorang yang sedang angau. Maka jika si angau ini bermimpi , adakah boleh dengan senangnya dia menganggap mimpi itu petunjuk Istikharah? Tentunya tidak semudah itu. Bagaimana pula jika Istikharah dan bermimpi calon A lalu mahu membuat keputusan, tiba-tiba esoknya termimpi pula calon B? Atau, bagaimana jika dalam satu masa yang sama bermimpi calon A dan B serentak? Maka sebaiknya, jangan gantungkan Istikharah anda itu dengan sebarang mimpi!


Begitu juga, Istikharah tidak memerlukan sehingga anda dan calon anda bermimpi perkara yang serupa, barulah dianggap Istikharah anda itu bjaya.tidak sama sekali


Istisyarah atau Mesyuarat


Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman – sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata- hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya – sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.


 ketika fikiran dan hati kita terbeban mahu memilih antara A dan B ( atau lain-lain ) maka hendaklah kita melazimi solat Istikharah. Dalam masa yang sama kita jangan tinggalkan Istisyarah. Antara petanda yang mungkin hadir adalah, ketika kita bangun daripada tidur dan teringatkan tentang perkara yang membebani kita itu ( membuat pilihan ) maka salah satu pilihan tersebut menjadi tenang di hati kita berbanding pilihan yang lagi satu. Ini salah satu petunjuk bahawa pilihan itu adalah yang terbaik untuk kita ikut. Mudahnya, petunjuk itu datang ke dalam hati kita sendiri. Kita sendiri akan merasai perkara tersebut jika kita benar-benar konsisten dengan Istikharah dan Istisyarah. Ia seterusnya akan mencetus keyakinan kepada kita dalam membuat langkah seterusnya tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu.


Firman Allah ta’ala : ” Dan apabila kamu telah berazam untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal “


Dalam Fiqh, kalau kita yakin kita masih ada wudhuk dan mahu solat, tetapi tiba-tiba ada semacam bisikan bahawa wudhuk kita sudah batal, maka bisikan tersebut tidak dikira membatalkan keyakinan kita. Kaedah menyebut : Yakin tidak akan gugur kerana Syak. Begitu juga dalam bab Istikharah. Jika sudah yakin dengan pilihan yang kita buat – berdasarkan doa Istikharah kita kepada Allah serta pertimbangan-pertimbangan yang kita buat dengan Istisyarah – maka jangan dilayan lagi bisikan-bisikan umpamanya mungkin akan menyesal, atau nanti begitu atau begini, kerana kesemua itu sebenarnya adalah helah daripada Syaitan. Seorang ulama’ menyebut : Tidak akan menyesal orang yang melakukan solat Istikharah.


 Kesimpulan:


Optimislah dengan keputusan sendiri. Belajarlah membuat keputusan dengan yakin. Jangan harapkan anasir lain membuat keputusan untuk anda. Istikharah tidak harus sama sekali diletakkan di tahap itu, kerana ia adalah hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Tetapi meletakkan anasir lain untuk membuat keputusan, umpamanya mengharapkan mimpi tertentu, melihat kepada objek-objek tertentu ataupun nombor-nombor tertentu, kesemua ini akan menjadikan anda seorang manusia yang tiada fungsi. Ia jauh sekali daripada ajaran Islam, apatah lagi hendak dikaitkan dengan solat sunat Istikharah.






 ~bukan senang untuk mendapat keyakinan yang sepenuhnya tak kiralah dalam apa jua hal atau masalah sekalipun.Mengungkap yakin dimulut tak kan sama dengan kita meletakkannya dalam hati...insyaAllah khair..tidak ada satu jalan yang sangat payah untuk kita telusuri melainkan dengan keyakinan kepada Allah,yakin dan percaya Allah sentiasa mendengar dan melihat dan Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya..


*sumber daripada myilham.com*

No comments:

Post a Comment